Cantik atau tidak saya bertudung?

Assalammualaikum wbt & Salam Sejahtera, 

Salam Maulidur Rasul semua. Terlewat sedikit tetapi tidaklah terlalu keterlewatan kan. Masih ramai yang menyambut hari kelahiran junjungan besar kita semua Muhammad s.a.w. Bagaimana menyambutnya? Bebagai cara, berbagai keraian. Tapi 1 sahaja, adakah ia berkat? Adakah ia benar-benar dalam erti kata kalian kenali siapa Muhammad s.a.w, junjungan besar kita? Tanyalah hati. 

Kalau kita kurang ilmu, carilah ia. Tapi jangan salah menuntut. Sama macam kita salah menilai hukum. Yang lahir atau zahir kita jaga ia tapi yang batin kita banting-bantingkan ia. Buat bila perlu [insaf!] Itulah lumrah kita yang bergelar manusia. Cari Allah bila perlu, bila senang lupakan. Astagfirullahalazim. 



Yang menjadi beban kotak fikiran saya kini adalah tudung atau sarung kepala muslimah. Berbagai ragam, berbagai fesyen. Tak salah nak berfesyen tapi biarlah ia kena pada ketetapannya. Pakai ia separuh-paruh, serupa mempermainkannya. Bukan tudung itu yang di permainkan, tapi hukum Allah yang di permainkan. Lebih elok kalau di tutup semuanya. Dan ada pulak yang memakainya hanya kerana, "CANTIKKAN SAYA BERTUDUNG?" dan bermulalah legasi berfesyen dengan pelbagai gaya dan cara. Dari situ bermulalah kesilapan demi kesilapan dan di jadikan "idola" bagi yang tidak tahu. Cantik di mata manusia, tapi cantikkah kita di mata Yang Maha Esa? 

Sedar tidak, kita selalu ingin cantik di mata manusia? Tapi sebenarnya kita tidaklah secantik mana di mata Sang Pencipta? Kalau si kecil ini begitu seronok memakai sarung di kepalanya, kenapa kita yang sudah besar sangat takut menutup mahkota bernilai ini?


Comel dan sopan. Sejuk hati si ibu tatkala memandang si kecil ini. Dan pepatah melayu yang, "Melentur buluh biarlah dari rebungnya" sangat saya setujui. Dan ada sesetengah ibubapa kini yang memberi kebebasan buat anak-anak mereka yang saya rasa tidak berapa kena pada tempat. Lahirnya seorang anak itu perlu di bentuk dan di ajar, bukan di biarkan mencari agamanya sendiri. Jikalau agama menyuruh itu kenapa tidak di suruh itu? Sikap terlampau dalam keterbukaan itu sebenarnya merugikan. Kerana? Yakinkah si ibu dan ayahnya apabila si anak bila besarnya akan mengetahui atau mengingati setiap arahan dan suruhan? Kalau ibubapanya sendiri tidak kisah? Dan penghabisnya si anak jadi, "CANTIKKAN SAYA BERTUDUNG?" kerana?

1. Bakal suami mahu dia bertudung - Alhamdulillah dia lelaki yang baik, masih belum terlambat berubah.

atau 

2. Cantiklah si dia pakai tudung, fesyen macam-macam. Ikutlah. - Alhamdulillah, mahu juga dia bertudung dan adalah lebih baik kalau kena gayanya.

Dua-dua situasi keduanya bertudung, namun mungkin niatnya kerana si dia atau si polan. Salahkah? Tidaklah pada hemat saya, cuma lebih baik ikhlas itu ada. Dan apabila saya berkata tentang ikhlas, dah tentunya ada yang kata,

Nah, dia sendiri katakan tentang keikhlasan. Aku tidak ikhlas kalau terus memakainya. Aku perlukan masa.

Tapi kalian, sampai bila masa itu di beri buat kita? Adakah kita tahu bila ajal menjemput? Anda tahu? Saya ulang anda / saya tahu?

Nah, tidakkan.

Siapa yang tahu? Tidak siapa tahu. Meramalnya apatah lagi. Jangan percaya tukang tilik, ia salah. Boleh ambil masa cuma beringatlah, ajal tidak pernah kita ketahui dan bila-bila sahaja kita akan di jemput pergi. Masa itu sudah terlambat untuk kita minta tambah waktu kerana tempoh masa di dunia telah tamat.

Satu pesan saya buat diri dan rakan-rakan sekalian, jangan sesekali kita bertanya, "Cantik atau tidak saya bertudung?" tapi tanyalah "Betul atau tidak cara saya bertudung?" Dan biarlah kita tidak cantik di mata manusia tapi cantik di mata sang pencipta.

D_Y_H
Setiap hari berharap masih punya waktu perbaiki diri dan selama itu juga kesalahan demi kesalahan di lakukan. Berbanyak muhasabah diri dan perbaiki kekurangan yang ada.

0 comments: